Sarawak Persiap Modal Insan Penjawat Awam Hadapi Masa Depan
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh pembangunan modal insan Perkhidmatan Awam Sarawak menerusi latihan, peningkatan kemahiran dan program pembangunan kepimpinan bagi melahirkan penjawat awam yang berkeupayaan menghadapi tuntutan masa hadapan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, peningkatan jumlah pegawai muda daripada generasi X, Milenial dan Gen Z memerlukan pelaburan berterusan dalam pembangunan kemahiran, kompetensi serta potensi kepimpinan mereka.
"Sehubungan itu, kita akan terus memperkukuh pembangunan modal insan Perkhidmatan Awam Sarawak melalui latihan, peningkatan kemahiran dan program pembangunan kepimpinan.
"Ini termasuk menghantar pegawai-pegawai muda kita ke institusi latihan antarabangsa terkemuka seperti Harvard University, University of Oxford, University of Cambridge dan Lee Kuan Yew School of Public Policy," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) dan Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Tambahnya, bangunan baharu Leadership Institute Of Sarawak Civil Service (LISCS) yang bakal dirasmikan Premier Sarawak tidak lama lagi turut memainkan peranan penting dalam memperluas akses kepada latihan terkini bagi meningkatkan kompetensi warga perkhidmatan awam.
Ujarnya, matlamat adalah untuk memastikan pegawai di setiap peringkat dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan bagi memenuhi tuntutan masa hadapan seiring dengan tema 'Future Ready Civil Service'.
"Oleh itu, kesediaan menghadapi masa hadapan bukan sekadar berkaitan inovasi dan teknologi baharu. Sebaliknya, ia turut melibatkan usaha mempersiapkan warga kerja kita dengan kemahiran, pemikiran dan kepimpinan yang tepat," jelas beliau.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Ketua-ketua Jabatan, penjawat-penjawat awam serta kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Asyrafiee Mahzihi