Kejayaan Pembangunan Sarawak Mesti Diukur Melalui Manfaat Kepada Rakyat, Bukan Jumlah Peruntukan
KUCHING: Kejayaan agenda pembangunan Sarawak menjelang 2030 tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan yang dibelanjakan atau bilangan projek dilaksanakan semata-mata, sebaliknya melalui hasil sebenar dan manfaat yang dinikmati rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan, setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu memastikan perancangan pembangunan diterjemahkan kepada pelaksanaan berkesan yang mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Menurut beliau, tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dari 2026 hingga 2030 merupakan fasa penentu dalam merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Kejayaan kita bukan sekadar diukur berdasarkan peruntukan yang dibelanjakan atau projek yang dilaksanakan, tetapi berdasarkan hasil yang dicapai dan manfaat yang dirasai oleh rakyat.
“Setiap kementerian, jabatan dan agensi perlu memahami peranan masing-masing serta memastikan usaha yang dilaksanakan saling melengkapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Premier Sarawak menambah, rakyat mahu melihat projek jalan raya dan infrastruktur asas disiapkan, perkhidmatan awam yang mudah diakses serta boleh dipercayai, selain peluang ekonomi lebih luas dan peningkatan kualiti hidup yang nyata.
Justeru, beliau mahu sistem pentadbiran kerajaan beralih daripada pendekatan yang terlalu menumpukan proses dan aktiviti kepada budaya kerja berorientasikan keberhasilan serta impak kepada rakyat.
Penilaian terhadap keberkesanan sesuatu program, jelas beliau, perlu mengambil kira sama ada perbelanjaan awam memberikan nilai yang sewajarnya dan projek yang disiapkan benar-benar mencapai tujuan pelaksanaannya.
Mengambil contoh Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), beliau menekankan bahawa keberkesanan inisiatif itu bukan sekadar terletak pada pelaksanaan program, tetapi sejauh mana bantuan berkenaan benar-benar sampai kepada penerima yang layak, termasuk penduduk luar bandar dan pedalaman.
Menurut beliau, penyelarasan berkesan antara agensi, perancangan teliti dan sistem penyampaian cekap amat penting bagi memastikan tiada golongan yang memerlukan bantuan tercicir.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menggesa semua kementerian dan agensi mempercepat pelaksanaan projek serta segera menangani sebarang kelemahan atau kekangan yang berpotensi menjejaskan kemajuan pembangunan negeri.
“Kita mesti memastikan setiap perancangan disusuli dengan tindakan yang sewajarnya. Sebarang kelemahan atau kekangan dalam pelaksanaan perlu dikenal pasti dan ditangani dengan segera supaya tidak menjejaskan kemajuan yang telah dirancang.
“Saya menyeru semua warga perkhidmatan awam untuk bertindak dengan penuh komitmen, mengambil langkah yang sewajarnya bagi menangani segala kekangan pelaksanaan dengan segera dan memastikan hasil yang ditetapkan dapat dicapai,” tegas beliau.
Beliau turut mengingatkan bahawa masa semakin singkat untuk mencapai sasaran pembangunan menjelang 2030, sekali gus menuntut tindakan lebih pantas, kerjasama erat dan pemantauan berterusan daripada seluruh jentera pentadbiran kerajaan.-EDISI UKAS