Generasi Baharu Penjawat Awam Digesa Lebih Inovatif, Proaktif
KUCHING: Generasi muda penjawat awam Sarawak digesa menjadi pencetus idea dan penyelesaian inovatif dalam memperkukuh kecekapan pentadbiran serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penjawat awam muda perlu memanfaatkan perspektif baharu, kepakaran digital dan pendekatan kerja yang lebih dinamik bagi menangani cabaran pentadbiran yang semakin kompleks.
“Saya mahu generasi baharu penjawat awam kita menjadi individu yang berupaya menyelesaikan masalah dengan mengemukakan cadangan dan penyelesaian, bukannya sekadar melaporkan masalah,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Hari Penjawat Awam Sarawak dan Anugerah SCSICA 2026 di sini pada Rabu.
Dalam pada itu tegasnya, keupayaan menyelesaikan masalah perlu diperkukuh melalui pembangunan kepimpinan yang berwawasan, berintegriti dan berpemikiran strategik pada setiap peringkat perkhidmatan awam.
“Dalam hal ini, Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak memainkan peranan penting dalam melahirkan barisan pemimpin yang berkeupayaan, beretika dan berfikiran strategik.
“Peruntukan sebanyak RM25 juta kepada institut itu di bawah Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kita untuk memperkukuh kepimpinan serta meningkatkan kompetensi dalam kalangan penjawat awam,” ujar beliau lagi.
Beliau menambah, usaha memperkukuh kompetensi penjawat awam semakin penting seiring dengan transformasi ekonomi Sarawak yang memerlukan kepakaran teknikal, pemikiran kritis serta keupayaan memahami isu kompleks.-EDISI UKAS