Sistem Pentadbiran Sarawak Dapat Pengiktirafan Antarabangsa, Premier Dijemput Berucap Di Vienna
KUCHING: Sistem pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan awam Sarawak mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila pendekatan pengurusan negeri ini disifatkan sebagai model yang wajar dicontohi oleh negara lain.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengiktirafan itu dinyatakan oleh Dekan Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA), Drago Kos ketika mengadakan pertemuan dengan beliau baru-baru ini.
“Beliau (Drago) bersama saya semalam dan menyatakan bahawa sistem yang dilaksanakan di Sarawak, termasuk penyampaian perkhidmatan oleh perkhidmatan awam serta penglibatan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) merupakan model yang wajar dicontohi oleh negara lain di seluruh dunia,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Hari Penjawat Awam Sarawak dan Anugerah SCSICA 2026 di sini pada Rabu.
Premier Sarawak menambah, pengiktirafan berkenaan turut membuka ruang kepada perkongsian pengalaman Sarawak di pentas antarabangsa apabila beliau dijemput oleh IACA untuk menyampaikan ucaptama di Vienna, Austria.
Jelasnya, ucapan berkenaan akan mengetengahkan pendekatan pentadbiran dan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang dilaksanakan di Sarawak, khususnya dalam memperkukuh integriti serta kecekapan pengurusan kerajaan.
“Ini merupakan satu pengiktirafan dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda semua kerana terus mempertahankan standard dan mutu perkhidmatan demi masa depan Sarawak,” ujar beliau lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak turut dinyatakan sebagai negeri pertama di dunia yang menjalinkan kerjasama secara langsung dengan IACA bagi memperkukuh kapasiti pengurusan integriti menerusi program latihan dan perkongsian kepakaran antarabangsa.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak serta Ketua-Ketua Jabatan.-EDISI UKAS