Pentadbiran Cekap Pacu Pelaburan & Pembangunan Sarawak
KUCHING: Kecekapan pentadbiran dan kepantasan membuat keputusan dalam perkhidmatan awam menjadi faktor penting bagi memperkukuh keyakinan pelabur, mempercepat pelaksanaan pembangunan serta memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan, penjawat awam perlu berani dan yakin membuat keputusan dalam lingkungan bidang kuasa masing-masing tanpa mengabaikan prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
“Dalam persekitaran yang berubah dengan pantas, kepantasan membuat keputusan amat penting. Kelewatan boleh menjejaskan pelaburan, pembangunan, perniagaan dan kehidupan rakyat kita.
“Saya mahu pegawai mempunyai keyakinan untuk membuat keputusan dalam lingkungan kuasa masing-masing, berpandukan integriti, ketelusan dan akauntabiliti,” ujar beliau ketika menyampaikan amanat sempena Hari Penjawat Awam Sarawak dan Anugerah SCSICA 2026 di sini pada Rabu.
Sementara itu jelasnya, pentadbiran yang tangkas dan responsif perlu bergerak seiring dengan tadbir urus yang baik bagi memastikan setiap keputusan dapat dilaksanakan secara berkesan serta memberikan manfaat kepada rakyat.
Katanya, pendekatan itu juga penting dalam mempercepat pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan negeri, sekali gus menyokong aspirasi Sarawak mencapai sasaran pembangunan menjelang 2030.
“Bertindaklah dengan tangkas, buat keputusan dengan tegas dan pikul tanggungjawab dengan penuh akauntabiliti.
“Paling utama, pastikan setiap amanah dilaksanakan dengan hasil yang nyata kerana itulah standard yang perlu kita tetapkan untuk diri sendiri bagi memenuhi tuntutan masa hadapan,” tegas beliau.-EDISI UKAS