GPS Beri Mandat Penuh Kepada Premier Sarawak Tentukan Calon PRN Ke-13
KUCHING: Semua parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi mandat penuh kepada Pengerusinya merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk menentukan calon yang akan mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Timbalan Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mandat berkenaan telah dipersetujui semua parti komponen GPS dalam mesyuarat terdahulu dan turut mendapat sokongan sebulat suara Majlis Tertinggi PBB.
“GPS juga dalam mesyuarat tempoh hari telah memberi mandat kepada Yang Amat Berhormat untuk menentukan calon. Semua bersetuju dan menyokong pemberian mandat penuh kepada beliau untuk membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB Sarawak di Ibu Pejabat PBB pada Rabu.
Mengulas lanjut, Datuk Amar Douglas menjelaskan mesyuarat berkenaan tidak membincangkan senarai calon mahupun kemungkinan pertukaran kerusi dalam kalangan penyandang.
Menurutnya, tarikh mesyuarat khas bagi membincangkan calon GPS juga masih belum ditetapkan, manakala manifesto gabungan itu masih dalam peringkat penyediaan.
Dalam perkembangan berkaitan katanya, GPS turut menubuhkan 13 jawatankuasa khusus bagi memperkemas persiapan menghadapi PRN Ke-13, merangkumi aspek pengurusan, strategi, logistik dan keselamatan.
Datuk Amar Douglas yang juga Pengarah Operasi GPS bagi PRN Ke-13 berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan bertujuan memastikan gerak kerja pilihan raya dapat diselaraskan secara menyeluruh.
“GPS telah menubuhkan satu Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya Negeri Sarawak dan kita telah pun menubuhkan 13 jawatankuasa,” katanya.
Antara jawatankuasa yang ditubuhkan ialah Sekretariat, Projek dan Manifesto, Perisikan, Lawatan VVIP, Logistik dan Udara, Kewangan, Keselamatan serta Perundangan.
Beliau berkata, taklimat mengenai struktur jawatankuasa berkenaan telah diberikan kepada ahli jawatankuasa sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua cawangan PBB di seluruh Sarawak supaya memperkemas gerak kerja dan memastikan jentera parti masing-masing bersiap siaga menghadapi pilihan raya.
“Kita juga meminta semua cawangan-cawangan PBB di seluruh Sarawak sama-sama bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Mengenai fungsi Jawatankuasa Perisikan, Datuk Amar Douglas yang juga Timbalan Premier Sarawak menjelaskan jawatankuasa itu berperanan mengenal pasti isu yang berpotensi timbul sepanjang tempoh pilihan raya serta merangka pendekatan bersesuaian untuk menanganinya.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua PBB Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang Dipertua Kanan PBB Sarawak, Datuk Amar Fadillah Yusof, Setiausaha Agung PBB Sarawak, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Penerangan PBB Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie