DBKU PBT Pertama Di Sarawak Raih Penarafan Bandar Pintar Tahap 2
SELANGOR: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mencatat sejarah sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Sarawak menerima Anugerah Penarafan Bandar Pintar Tahap 2 Tahun 2026, meningkat daripada Tahap 1 yang diperoleh pada 2023.
Pengiktirafan itu mencerminkan kemajuan DBKU dalam memperkukuh pengurusan bandar berasaskan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta kesejahteraan masyarakat.
Anugerah berkenaan diterima Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman daripada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 di Dewan Sivik Petaling Jaya, Selangor, pada Rabu.
Majlis tersebut turut menyaksikan peluncuran Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) yang disempurnakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Pencapaian itu membuktikan usaha berterusan DBKU dalam melaksanakan inisiatif bandar pintar yang memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan bandar dan kualiti perkhidmatan kepada penduduk.
Sebagai PBT pertama di Sarawak mencapai penarafan berkenaan, DBKU komited memperluas pelaksanaan penyelesaian bandar pintar yang berteraskan keperluan rakyat, khususnya dalam mewujudkan persekitaran bandar yang lebih cekap, selesa dan mampan.
Pengiktirafan tersebut turut menjadi pemangkin kepada usaha membangunkan Kuching sebagai bandar raya pintar yang berdaya tahan dan inklusif, selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak.-EDISI UKAS