SDMC Sedia Selaras Maklumat Cuaca Dengan SPR Menjelang PRN Ke-13
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) akan menyelaras maklumat ramalan cuaca dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membantu persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 yang dijangka berlangsung dalam tempoh Monsun Timur Laut.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi SDMC, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penyelarasan itu akan melibatkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) bagi memberikan taklimat mengenai ramalan dan keadaan cuaca semasa di seluruh Sarawak kepada SPR.
“SDMC memang memantau situasi dan kita akan berbincang dengan SPR. Jabatan Meteorologi kita akan memberi taklimat kepada SPR mengenai ramalan keadaan cuaca di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di Ibu Pejabat PBB pada Rabu.
Menurut beliau, taklimat berkenaan akan diberikan selepas SPR menetapkan tarikh penting pilihan raya, termasuk hari penamaan calon dan pengundian.
Katanya, maklumat cuaca amat penting khususnya bagi kawasan pedalaman dan lokasi terpencil yang memerlukan penggunaan helikopter untuk urusan pilihan raya kerana operasi penerbangan bergantung kepada keadaan cuaca setempat.
Beliau menjelaskan, Monsun Timur Laut telah bermula dan dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan, sekali gus memerlukan pemantauan serta penyelarasan rapi bagi memastikan kelancaran urusan pilihan raya.
Sehubungan itu, SDMC akan memastikan maklumat ramalan cuaca terkini disalurkan kepada SPR sebagai panduan dalam merancang operasi pilihan raya, khususnya di kawasan yang berisiko terjejas akibat cuaca buruk.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penetapan tarikh pilihan raya kekal di bawah bidang kuasa SPR.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie