KCFC Tetap Buru Kemenangan Menentang Gangwon FC Meski Hilang Tonggak Utama
KUCHING: Kuching City FC (KCFC) tidak akan menjadikan masalah kecederaan pemain sebagai alasan untuk mengendurkan misi memburu kemenangan sulung dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) apabila menerima kunjungan wakil Korea Selatan, Gangwon FC dalam aksi Kumpulan H di Stadium Taha Ariffin, Khamis ini.
Ketua Jurulatih KCFC, Aidil Sharin Sahak berkata, biarpun pasukannya berdepan kehilangan beberapa pemain utama, beliau tetap yakin barisan pemain yang tersedia mampu memberikan tentangan sengit dalam perlawanan yang cukup penting itu.
“Perlawanan esok sangat penting, ia bukan mudah, ramai pemain utama tidak akan beraksi kerana mengalami kecederaan.
“Apa yang kita boleh lakukan, kita akan bermain dengan pemain sedia ada,” ujarnya pada sidang media pra perlawanan berkenaan, di sini pada Rabu.
Menurutnya, pertembungan tersebut bukan sahaja menjadi peluang untuk KCFC mengutip tiga mata, malah medan menguji kemampuan pasukan apabila berdepan lawan yang mempunyai pengalaman lebih luas di pentas antarabangsa.
Mengakui Gangwon FC memiliki kelebihan dari segi pengalaman dan kedudukan ranking, beliau tetap menegaskan anak buahnya tidak akan turun dengan perasaan gentar, lebih-lebih lagi apabila beraksi di gelanggang sendiri.
“Kami tahu mereka mempunyai pemain berkualiti dan berpengalaman dalam pertandingan seperti ini.
“Namun, inilah peluang untuk kami mencabar kemampuan sendiri dan melihat sejauh mana tahap pasukan ketika bersaing di peringkat ini,” katanya lagi.
Menurut Aidil, susulan kecederaan beberapa pemain utama, beliau terpaksa melakukan rombakan kecil bagi melakukan penyesuaian terhadap perancangan perlawanan.
Antara pemain yang terpaksa diketepikan ialah Ronald Ngah Wanja yang memerlukan pembedahan lutut dan dijangka berehat selama dua bulan, selain turut kehilangan Jimmy Raymond, Adjin Mugajic dan Ahmad Israiwah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tumpuan pasukan kini adalah mempersiapkan pemain yang cergas serta memastikan mereka berada pada tahap terbaik untuk menghadapi cabaran Gangwon FC.
Mengulas prestasi pasukan selepas melalui tiga kekalahan berturut-turut, Aidil berkata keputusan tersebut perlu dilihat berdasarkan konteks perlawanan dan cabaran yang dihadapi, termasuk faktor kekurangan pemain utama serta situasi perlawanan.
Beliau bagaimanapun tidak mahu terlalu memikirkan keputusan lalu, sebaliknya mahu anak buahnya memberikan sepenuh perhatian kepada perlawanan esok sebelum mengalihkan fokus kepada aksi separuh akhir kedua menentang Selangor FC hujung minggu ini.
Sementara itu, pemain KCFC, Filemon Anyi yang turut hadir pada sidang media berkenaan, menyifatkan Gangwon FC sebagai pasukan yang tersusun dan berdisiplin, namun menegaskan pemain tuan rumah bersedia memikul tanggungjawab bagi mengisi kekosongan tonggak yang mengalami kecederaan.
Beliau juga berharap penyokong memenuhi stadium bagi memberikan sokongan sepanjang 90 minit perlawanan. -EDISI UKAS