MASOC, Kluster Sarawak Perhalusi Garis Panduan Penajaan Sukan SEA 2027
GENTING HIGHLANDS: Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) Kluster Sarawak bersama Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 memperhalusi mekanisme dan garis panduan penajaan, khususnya membabitkan penyertaan syarikat dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak menjelang penganjuran Sukan SEA ke-34 dari 18 hingga 29 September 2027.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat MASOC 2027, Datu Hii Chang Kee berkata, bengkel penyelarasan tersebut amat penting bagi mendapatkan pencerahan terhadap pelbagai persoalan dan keraguan yang dibangkitkan oleh kluster-kluster negeri penganjur iaitu Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sekretariat MASOC 2027 atas inisiatif mengadakan bengkel yang berlangsung selama tiga hari tersebut, khususnya kepada CEO Sekretariat MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub yang memberikan penjelasan terhadap isu dan persoalan yang dikemukakan oleh setiap kluster negeri penganjur.
“Kluster Sarawak juga memohon agar sebarang jemputan daripada Sekretariat MASOC 2027 berkaitan bengkel atau mesyuarat di peringkat jawatankuasa dimaklumkan melalui Ketua LOC setiap kluster negeri penganjur bagi memastikan segala perancangan dan penyelarasan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 19 jawatankuasa telah diwujudkan bagi menyokong persiapan penganjuran temasya sukan berkenaan.
Sekretariat MASOC 2027 turut memaklumkan bahawa beberapa ketetapan akan dikenal pasti dan garis panduan sedia ada akan diteliti semula bagi tujuan penyediaan buku panduan (handbook) sebagai rujukan kepada semua pihak yang terlibat.
Bengkel Penyelarasan Sekretariat MASOC Bersama Kerajaan Negeri Penganjur Sukan SEA ke-34 Tahun 2027 itu bermula 2 November dan berakhir hari ini.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MySED) yang juga Timbalan Pengerusi dan Pegawai Pengawal LOC Kluster Sarawak, Datu Dzulkornain Masron, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Mu’azamir Jili serta wakil-wakil Sekretariat LOC Kluster Sarawak. - EDISI UKAS