Fahami Agenda Pembangunan Sarawak, Miliki Integriti Dan Kewibawaan
KUCHING: Kefahaman mendalam mengenai dasar dan hala tuju pembangunan Sarawak, selain integriti serta kewibawaan diri, perlu menjadi keutamaan dalam pemilihan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, setiap calon perlu memiliki pengetahuan luas, kematangan berfikir serta keupayaan menjelaskan dasar dan pencapaian kerajaan kepada rakyat dengan berkesan.
Menurut beliau, antara pencapaian penting yang perlu difahami termasuk inisiatif pendidikan percuma, pengambilalihan aset strategik serta peningkatan hasil negeri yang membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan kepada pembangunan, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, di sini pada Rabu.
Mengulas mengenai kriteria pemilihan calon, Datuk Abdullah yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBB menjelaskan bahawa faktor usia bukan penentu utama, sebaliknya kebijaksanaan, kematangan berfikir serta keupayaan memahami keperluan pembangunan semasa perlu diberikan keutamaan.
Katanya, proses saringan calon juga akan dilaksanakan dengan lebih teliti merangkumi aspek integriti, tahap kesihatan, reputasi peribadi serta hubungan dengan masyarakat bagi memastikan individu yang dipilih benar-benar berwibawa dan mampu memikul amanah rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penyertaan rakyat dalam proses demokrasi dengan menggalakkan peratusan keluar mengundi yang tinggi, khususnya dalam kalangan pengundi muda berusia 18 hingga 35 tahun serta golongan veteran.
“Jika benar menyokong dan sayangkan negeri ini serta menghargai apa yang sedang kita lakukan, rakyat perlu keluar mengundi. Kita mahu peratusan keluar mengundi yang tinggi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam persiapan pilihan raya supaya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk cabaran cuaca dan musim tengkujuh, bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.-EDISI UKAS