Bakat Tempatan Pacu Sektor Tenaga, Ekonomi Sarawak
KUCHING: Sarawak akan terus memberi keutamaan terhadap pembangunan bakat bagi memastikan kekuatan negeri ini dalam sektor tenaga dapat diterjemahkan kepada nilai tambah dan pertumbuhan ekonomi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata kekuatan sumber yang dimiliki Sarawak perlu disokong modal insan berkemahiran tinggi bagi memastikan negeri ini mampu bergerak seiring perubahan ekonomi global.
Menurut beliau, tenaga merupakan antara kekuatan utama Sarawak dan menjadi enjin pertumbuhan kepada pelbagai sektor ekonomi, namun sumber berkenaan perlu ditambah nilai menerusi kepakaran serta bakat tempatan.
“Walaupun kita mempunyai kekuatan ini, kita memerlukan manusia untuk menambah nilai kepada kekuatan tersebut.
“Oleh itu, kita menubuhkan Kementerian Pendidikan dan Pembangunan Bakat kita sendiri. Bakat adalah kunci untuk kita bergerak ke hadapan menuju ekonomi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-55 Yayasan Sarawak di Hotel Pullman, Kuching pada Rabu.
Menurutnya, perubahan landskap ekonomi dunia daripada ekonomi berasaskan sumber kepada ekonomi moden yang dipacu teknologi, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan quantum AI menuntut Sarawak menyediakan modal insan yang bersesuaian dengan keperluan masa depan.
Dalam hal ini tegasnya, Yayasan Sarawak memainkan peranan penting dalam memastikan anak negeri ini daripada pelbagai latar belakang dan lokasi mendapat peluang membangunkan potensi serta bakat masing-masing.
Tambah beliau, pendekatan pembangunan bakat tersebut juga perlu merangkumi masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar bagi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dapat dinikmati secara menyeluruh.
“Yayasan Sarawak perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk menghasilkan anak Sarawak dengan bakat tersebut supaya kita dapat mengangkat ekonomi kita daripada perangkap pendapatan sederhana kepada ekonomi maju,” ujar beliau.
Katanya, Yayasan Sarawak perlu terus berkembang seiring perubahan persekitaran bagi memastikan peranannya dalam pembangunan modal insan kekal relevan.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada barisan pemimpin terdahulu, khususnya mantan Ketua Menteri, Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub yang menubuhkan Yayasan Sarawak, serta pihak pengurusan dan Lembaga Amanah Yayasan Sarawak dalam meneruskan legasi pembangunan modal insan negeri.
Usaha tersebut katanya penting bagi merealisasikan aspirasi Sarawak untuk membina ekonomi yang mampan serta berdaya saing dengan negara-negara maju.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin serta tetamu lain.-EDISI UKAS