Peluang, Sokongan Sekolah Buka Ruang Pelajar Serlah Bakat
BINTULU: Pemberian peluang dan sokongan berterusan oleh pihak sekolah penting bagi membolehkan para pelajar mengembangkan bakat serta potensi masing-masing, sekali gus membuka ruang untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili berkata, pencapaian pelajar tempatan yang berjaya menyertai pertandingan di Romania dan United Kingdom membuktikan keupayaan anak-anak di daerah itu untuk menyerlah dalam bidang yang diceburi.
Menurutnya, penyertaan dalam pertandingan pelbagai peringkat perlu digalakkan bagi memberi pendedahan, membina keyakinan diri serta mencungkil bakat pelajar yang mungkin belum dikenal pasti.
“Siapa sangka anak Iban dari Bintulu boleh sampai ke Romania, manakala anak Melayu boleh sampai ke United Kingdom menerusi satu pertandingan berkaitan bahasa Inggeris.
“Inilah yang perlu kita kembangkan dengan memberi peluang dan ruang kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Simposium Penyelidikan, Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan PBL-STEM Daerah Bintulu 2026 di Kompleks Beli-belah Boulevard, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Samri berkata, simposium tahun ini merekodkan 196 penyertaan daripada 32 sekolah, merangkumi 75 penyertaan Inovasi PdP, 75 Kajian Tindakan dan 46 PBL-STEM Bersepadu.
Beliau turut menggesa pengetua dan guru besar supaya memberi sokongan kepada murid untuk menyertai pertandingan di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa, termasuk platform dalam talian.- EDISI UKAS