Jualan Agro Sarawakku Sayang Julung Di Telang Usan
MIRI: Penduduk Telang Usan berpeluang mendapatkan barangan keperluan harian pada harga istimewa menerusi Program Jualan Agro Sarawakku Sayang yang julung kali diadakan di SJK(C) Kee Tee, Long Lama pada Jumaat ini.
Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Baram, Dato Dennis Ngau berkata, program itu menawarkan pelbagai barangan keperluan asas termasuk ayam segar, beras dan minyak masak pada harga berpatutan bagi membantu meringankan perbelanjaan harian penduduk.
Menurutnya, program tersebut merupakan kerjasama antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Bahagian Miri, Pusat Khidmat DUN Telang Usan, Majlis Daerah Marudi dan Pertubuhan Peladang Kawasan Baram.
“Program ini khusus untuk memberikan manfaat kepada penduduk Telang Usan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Program yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 1 petang itu turut menyediakan taklimat mengenai perkhidmatan dan kemudahan FAMA.- EDISI UKAS