400 Lampu Jalan di 10 Lokasi Senadin Dinaik Taraf Menerusi RTP RM480,000
MIRI: Sebanyak 400 lampu jalan di 10 lokasi sekitar kawasan Senadin akan dinaik taraf daripada lampu jenis sodium kepada lampu LED menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Senadin berjumlah RM480,000 bagi meningkatkan pencahayaan dan keselamatan pengguna jalan raya.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek menaik taraf lampu jalan itu merupakan salah satu usaha khas menerusi peruntukan RTP Senadin pada tempoh lepas untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur dan keselamatan penduduk setempat.
Beliau berkata demikian ketika meninjau kerja-kerja pemasangan lampu LED di sepanjang Jalan Ilmu, Desa Senadin, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, sebanyak 92 lampu jalan di Jalan Ilmu telah ditukar kepada LED, manakala 30 lampu di Jalan Sukan turut dinaik taraf.
Secara keseluruhan, projek itu melibatkan 10 lokasi iaitu Jalan Dato Permaisuri 3 (22 lampu), Jalan Dato Permaisuri 3C (18), Jalan Dato Permaisuri 2 (20), Jalan Murni Utama (52), Jalan Kiambang (15), Jalan Sena (28), Jalan Mulia (28), Jalan Ilmu (92), Jalan Sukan (30) dan Jalan Riam (95).
Setakat ini, sebanyak 275 lampu jalan di lapan lokasi telah siap dinaik taraf, manakala baki 125 lampu di Jalan Sukan dan Jalan Riam masih dalam pelaksanaan.
Dato Sri Lee berkata penggunaan lampu LED memberikan pencahayaan yang jauh lebih terang berbanding lampu sodium sebelum ini, malah tahap pencahayaannya mampu menerangi kawasan jalan sehingga empat lorong, sekali gus membolehkan pengguna melihat keadaan jalan dengan lebih jelas pada waktu malam.
Menurutnya, pencahayaan lebih baik itu bukan sahaja meningkatkan keselesaan pemanduan, malah membantu mempertingkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Kerja-kerja pemasangan di lokasi yang masih belum siap dijangka selesai sepenuhnya menjelang penghujung bulan November ini.-EDISI UKAS