KRT Senadin Bakal Tubuh SRS Perkukuh Keselamatan Penduduk
MIRI: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Senadin bakal menubuhkan pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) sebagai langkah memperkukuh keselamatan kejiranan dan mencegah kegiatan jenayah, khususnya susulan beberapa kejadian pecah rumah yang dilaporkan baru-baru ini di Desa Senadin.
Cadangan penubuhan pasukan rondaan itu dipersetujui dalam sesi dialog antara komuniti setempat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Lutong yang turut disertai Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin di Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Desa Senadin, pada Rabu.
Menurut Dato Sri Lee, sesi dialog berkenaan diadakan susulan laporan beberapa kejadian pecah rumah di kawasan itu, dengan pihak polis telah berjaya menangkap suspek yang terlibat.
Beliau berkata, kerjasama erat antara penduduk dan pihak polis amat penting bagi meningkatkan tahap keselamatan serta mencegah kejadian jenayah daripada berulang.
Katanya, penubuhan SRS akan menggalakkan penglibatan aktif penduduk dalam aktiviti rondaan keselamatan, sekali gus memperkukuh pemantauan di kawasan kejiranan.
Sesi dialog itu turut memberi ruang kepada penduduk untuk berkongsi pandangan, menyuarakan kebimbangan dan mengemukakan cadangan penambahbaikan keselamatan setempat.-EDISI UKAS