Sarawak Perkukuh Pasaran Acara Perniagaan China Menerusi Pavilion Sulung di CIMX 2026
KUCHING: Sarawak memperkukuh kedudukannya dalam pasaran acara perniagaan China menerusi penyertaan sulung Pavilion Sarawak di China International MICE Exchange (CIMX) 2026 yang berlangsung di Beijing dari 3 hingga 5 November ini.
Diketuai Business Events Sarawak (BESarawak), pavilion berkenaan menghimpunkan 10 rakan industri tempatan bagi mempromosikan keupayaan Sarawak sebagai destinasi pilihan untuk mesyuarat korporat, perjalanan insentif, persidangan dan pameran antarabangsa.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi BESarawak, Datu Hii Chang Kee, menerusi satu kenyataan media pada Rabu berkata, hubungan ekonomi Sarawak yang semakin berkembang dengan China membuka peluang untuk memajukan agenda pembangunan negeri menerusi penganjuran acara perniagaan antarabangsa.
Beliau berkata, China merupakan rakan ekonomi penting Sarawak, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, pembuatan termaju dan teknologi digital yang selari dengan aspirasi negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Penyertaan itu turut memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai Legacy Capital of Business Events di Malaysia dan Borneo, dengan menawarkan kemudahan mesyuarat dan konvensyen bertaraf antarabangsa, perkhidmatan acara profesional serta pengalaman budaya dan alam semula jadi yang unik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak, Jason Tan Chin Foo berkata, penyertaan bersama rakan industri menerusi satu pavilion membolehkan pembeli dan penganjur acara dari China mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai keupayaan Sarawak sekali gus menterjemahkan minat pasaran kepada peluang perniagaan.
Sebanyak 10 rakan industri yang terlibat ialah Cat City Holidays, Hornbill & Horizon, Kuching Event Rental, Miri Marriott Resort & Spa, Mulu Marriott Resort & Spa, Pullman Kuching Hotel, Pullman Miri Waterfront Hotel, Sheraton Kuching, T.E.E.M. Event & Exhibition Management Sdn. Bhd. dan Wah Tung Travel Sdn. Bhd.
Penyertaan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BESarawak memperluas jaringan pasaran di rantau Asia Pasifik, dengan CIMX 2026 dijangka menghimpunkan kira-kira 5,000 profesional industri dari China.
Delegasi Sarawak turut mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Tourism Malaysia di Beijing bagi memperkukuh kerjasama pembangunan pasaran, meneroka peluang promosi bersama serta meningkatkan keterlihatan Sarawak dalam kalangan pembeli acara perniagaan dari China.-EDISI UKAS