POSKOM Perkukuh Akses Bantuan Kebajikan, Pastikan Tiada Golongan Tercicir
TEBEDU: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) terus memperluas jangkauan perkhidmatan kebajikan hingga ke peringkat akar umbi menerusi Program Outreach Santuni Komuniti (POSKOM) bagi memastikan tiada golongan yang memerlukan tercicir daripada menerima bantuan dan sokongan sosial kerajaan.
Program yang menjadi inisiatif utama JKMS itu akan dilaksanakan di semua bahagian di Sarawak sebagai platform mendekati golongan sasar, memperluas akses kepada maklumat serta memudahkan masyarakat berurusan secara langsung dengan jabatan berkenaan.
Ketua Bahagian Kesejahteraan Sosial JKMS, Nurin Chunggat berkata, POSKOM turut menyediakan ruang kepada masyarakat dan pemimpin komuniti untuk mengemukakan pertanyaan, cadangan serta aduan berkaitan perkhidmatan kebajikan.
Menurut beliau, masyarakat digalakkan memanfaatkan kemudahan yang disediakan selain membantu menyebarkan maklumat kepada penduduk yang tidak berkesempatan hadir supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat dikenal pasti dan disantuni.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program POSKOM di Kampung Temong Mura, Tebedu pada Rabu.
Nurin turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian atas penganjuran program berkenaan yang mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat.
Katanya, pelaksanaan POSKOM juga selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan sosioekonomi seimbang berteraskan keterangkuman sosial, kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Sementara itu, seramai 1,058 penerima di Daerah Tebedu menerima pelbagai skim bantuan kewangan bulanan kebajikan bagi tempoh Januari hingga November 2026, melibatkan peruntukan keseluruhan RM4.96 juta.
Daripada jumlah itu, Bantuan Warga Emas (BWE) mencatatkan penerima tertinggi iaitu 454 orang dengan perbelanjaan RM2.63 juta, diikuti Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) melibatkan 309 penerima berjumlah RM1.13 juta.
Skim lain merangkumi Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Terlantar (BPT) kepada 104 penerima, Bantuan Kanak-Kanak (BKK) kepada 69 penerima, Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) kepada 31 penerima, Bantuan Am (BA) kepada 89 penerima serta Bantuan Anak Pelihara (BAP) kepada dua penerima.
Dalam usaha memudahkan akses kepada perkhidmatan kebajikan, pelbagai kemudahan disediakan sepanjang program termasuk kaunter pertanyaan dan khidmat nasihat bantuan kebajikan, permohonan Kad Orang Kurang Upaya (OKU), Kenyalang Gold Card (KGC) serta Kemudahan Kesihatan Warga Emas (Senior Citizen Health Benefit atau SCHB).
Turut hadir, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian Robert Jullong Bagat, Pemanca Kane aManung dan Penghulu Gaup Takip.-EDISI UKAS