SEBUYAU: Sebanyak 77 lot kediaman bakal disediakan menerusi pelaksanaan Projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) Sungai Ladong yang melibatkan kawasan pembangunan seluas 8.29 hektar atau 20.49 ekar.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke tapak projek berkenaan pada Khamis, bagi meninjau perkembangan pelaksanaan serta perancangan pembangunan kawasan tersebut.
Lawatan itu turut disusuli taklimat oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak mengenai status projek, skop pembangunan serta komponen infrastruktur yang dirancang.
Berdasarkan profil projek, setiap lot kediaman berukuran 15 meter x 27 meter, selain merangkumi penyediaan rizab jalan, rizab kerajaan seluas kira-kira 1.2 ekar dan kawasan keagamaan.
Pembangunan itu turut melibatkan pembinaan pencawang elektrik serta kolam takungan terbuka seluas kira-kira 1.5 ekar bagi menyokong keperluan infrastruktur dan sistem saliran kawasan berkenaan.
Projek SPK Sungai Ladong telah mendapat kelulusan SPA pada 10 Oktober 2023, manakala kelulusan DLS direkodkan pada 31 Mac 2026.
Kerja-kerja pembangunan infrastruktur dan penyediaan kawasan lot kini sedang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha merealisasikan pembangunan penempatan berkenaan.-EDISI UKAS