Perlindungan Ekosistem Penting Jamin Keselamatan Sumber Air, Makanan
KUCHING: Pemeliharaan hutan, sungai dan biodiversiti bukan sekadar usaha melindungi khazanah semula jadi, malah penting dalam menjamin keselamatan sumber air, keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ekosistem semula jadi memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan alam sekitar serta menyokong kehidupan masyarakat.
“Perlindungan hutan, sungai dan biodiversiti bukan sahaja menjamin keseimbangan ekosistem, tetapi juga menyokong keselamatan sumber air, keterjaminan makanan, kesihatan rakyat serta daya tahan ekonomi terhadap perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Sarawak 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, Sarawak mempunyai kawasan litupan hutan seluas 7.64 juta hektar, bersamaan 62 peratus daripada keluasan wilayahnya, manakala 71 Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) seluas 0.87 juta hektar telah diwartakan bagi melindungi biodiversiti dan habitat hidupan liar.
Ujarnya lagi, Kerajaan Sarawak terus meletakkan kelestarian alam sekitar sebagai salah satu keutamaan pembangunan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang berpaksikan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Beliau menambah, komitmen itu turut diperkukuh melalui Sarawak Sustainability Blueprint 2030 yang memberi penekanan kepada pengurusan sumber asli secara bertanggungjawab, pemuliharaan biodiversiti dan kawalan pencemaran, selain sasaran mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Penguang Manggil, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua serta Controller Kualiti Alam Sekitar Datu Jack Liam.-EDISI UKAS