Sistem Rawatan Air Larut Resap Baharu Perkukuh Pengurusan Sisa Pepejal Di Miri
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) memperkukuh keupayaan pengurusan sisa pepejal dan perlindungan alam sekitar menerusi pelancaran Sistem Rawatan Air Larut Resap Hibrid Baharu di Tapak Pelupusan Sanitari Sibuti, Bekenu, pada Khamis.
Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang, berkata pelaksanaan sistem berkenaan merupakan langkah penting dalam menangani peningkatan jumlah air larut resap yang terhasil daripada operasi tapak pelupusan, sekali gus memastikan pengurusan sisa pepejal dilaksanakan secara lebih cekap dan mampan.
Tapak Pelupusan Sanitari Sibuti yang mula beroperasi pada 2003 kini menghasilkan kira-kira 580 meter padu air larut resap sehari, berbanding kapasiti rawatan loji sedia ada yang hanya mampu merawat sekitar 200 meter padu sehari.
Jurang kapasiti sebanyak 380 meter padu sehari itu mendorong MBM mencari penyelesaian tambahan bagi memastikan proses rawatan air larut resap dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memenuhi keperluan piawaian alam sekitar.
Sehubungan itu, MBM telah membuka peluang kepada syarikat yang berminat untuk mengemukakan cadangan penyelesaian alternatif, dengan lapan syarikat mengambil bahagian sebelum cadangan T.G. Services dipilih berdasarkan kesesuaian keupayaan kewangan dan sumber operasi majlis.
Sistem hibrid baharu itu akan melengkapi loji rawatan sedia ada bagi meningkatkan kapasiti rawatan, selain memperkukuh kawalan terhadap risiko pencemaran alam sekitar akibat operasi tapak pelupusan.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MBM dalam memastikan pengurusan sisa pepejal di kawasan Miri dilaksanakan secara bertanggungjawab, di samping melindungi kesihatan awam dan menjamin kelestarian alam sekitar untuk jangka panjang.- EDISI UKAS