KUCHING: Pengundi berusia 18 hingga 25 tahun dijangka memainkan peranan besar dalam menentukan landskap politik Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 susulan peningkatan ketara jumlah pengundi baharu.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, semua parti politik perlu memainkan peranan mendidik pengundi muda supaya membuat pilihan secara matang, berdasarkan penilaian sendiri dan bukannya dipengaruhi sentimen perkauman atau agama.
Beliau berkata, pengundi muda tidak boleh dipandang rendah kerana jumlah mereka yang besar berpotensi mempengaruhi keputusan pilihan raya, malah dianggarkan hampir 40 peratus daripada pengundi bagi pilihan raya kali ini merupakan pengundi baharu.
“Jangan memandang rendah golongan muda ini kerana mereka juga berpendidikan dan kita perlu menghormati hak mereka untuk membuat pilihan sendiri.
"Jangan meracuni pemikiran mereka dengan sentimen ekstrem,” katanya dalam sidang media di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, perkembangan itu turut dapat dilihat di kawasan DUN Asajaya apabila jumlah pengundi meningkat daripada lebih 12,000 pada pilihan raya lalu kepada lebih 19,000 berdasarkan daftar pemilih sehingga Mei dengan kemungkinan melebihi 20,000 selepas mengambil kira pertambahan pengundi seterusnya.
Tambahnya, kempen pilihan raya juga perlu berlangsung secara aman dan berhemah tanpa mencetuskan kebencian antara masyarakat kerana kestabilan politik penting bukan sahaja di peringkat negeri, malah turut memberi kesan kepada hubungan politik di peringkat Persekutuan.-EDISI UKAS