Pencapaian Pembangunan & Ekonomi Jadi 'Taruhan' PRN Sarawak Ke-13
KUCHING: Rekod pencapaian pembangunan, pengukuhan ekonomi serta pelaksanaan inisiatif berkepentingan rakyat dijangka menjadi antara faktor utama yang perlu dinilai pengundi dalam menentukan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Zohari Tun Datuk Abang Openg sejak 2017 telah membawa pelbagai perubahan besar yang memberi kesan kepada pembangunan negeri dan kehidupan rakyat.
Menurut beliau, antara pencapaian penting termasuk kejayaan rundingan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pengambilalihan Bintulu Port, penubuhan dana berdaulat Sarawak serta pembangunan Lebuhraya Pesisir dan 22 jambatan yang menjadi pemangkin perubahan kepada negeri ini.
“Perkara-perkara ini merupakan pemangkin perubahan yang memberi kesan kepada rakyat.
"Sebab itu, saya berpandangan kerajaan sedia ada adalah sebuah kerajaan yang benar-benar baik,” katanya ketika mengulas persediaan menghadapi PRN Sarawak semasa sidang media di Bangunan Baitulmakmur II, di sini pada Jumaat.
Dato Sri Abdul Karim menambah, pembangunan infrastruktur seperti Lebuhraya Pesisir dan pembinaan 22 jambatan dalam tempoh kurang lima tahun merupakan antara perubahan besar yang dapat dirasai rakyat, khususnya dari segi kemudahan perhubungan antara kawasan.
Selain itu, beliau turut menyorot pelaksanaan bantuan kepada wanita yang melahirkan anak, pendidikan tinggi percuma serta pengukuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai antara usaha memperkukuh kedudukan Sarawak.
Justeru, beliau berpandangan pengundi perlu menilai kemampuan calon dan parti berdasarkan pencapaian mereka merealisasikan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi menjadikan Sarawak sebuah negeri berpendapatan tinggi.-EDISI UKAS