Pendidikan Kunci Ubah Masa Depan, Ibu Bapa Digesa Sokong Anak Menimba Ilmu
SELANGAU: Pendidikan merupakan asas penting dalam mengubah masa depan anak-anak dengan membuka lebih banyak peluang untuk memperoleh pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, ibu bapa perlu sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada anak-anak untuk menimba ilmu sebagai bekalan menghadapi masa depan.
“Pendidikan adalah permata yang amat bernilai dalam kehidupan kerana mampu mengubah masa depan seseorang.
“Pendidikan yang tinggi, dapat membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak untuk memperoleh pekerjaan yang baik serta pendapatan yang lebih terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Kebudayaan Murid dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Arip, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Sarawak terus memberikan keutamaan kepada sektor pendidikan menerusi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) yang meliputi 64 kursus di universiti milik kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan Sarawak juga bercadang untuk memperluaskan skim tersebut ke institusi pengajian tinggi lain, termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu.
Malam Kebudayaan ini merupakan salah satu aktiviti yang memberikan peluang kepada murid untuk menonjolkan bakat, kreativiti dan kebolehan masing-masing dalam bidang seni serta kebudayaan.
Selain mencungkil dan mengembangkan bakat serta potensi murid, penganjuran program ini juga bertujuan memperkukuh hubungan antara pihak sekolah dengan ibu bapa melalui penglibatan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Turut hadir Guru Besar SK Bukit Arip, Lagan Unjar, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Selangau, Shirley Clement Labang, Yang Dipertua PIBG SK Bukit Arip, Tr Janting Bajieng serta Penghulu Lasit Bajieng.-EDISI UKAS