Interhill Plaza Diserah Kepada MBM, Perkukuh Kemudahan Awam Miri
MIRI: Interhill Group secara rasmi menyerahkan Interhill Plaza kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) sebagai sumbangan kepada masyarakat menerusi penyediaan ruang awam yang lebih berkualiti dan kondusif.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, penyerahan tersebut bukan sekadar usaha menaik taraf kemudahan fizikal, sebaliknya mencerminkan kerjasama antara sektor swasta, kerajaan dan masyarakat dalam memacu pembangunan bandar raya Miri.
Menurut beliau, pembangunan bandar memerlukan penglibatan semua pihak dan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu pihak berkuasa tempatan.
Beliau turut menegaskan bahawa pertumbuhan bandar perlu diseimbangkan dengan penyediaan ruang awam berkualiti, persekitaran hijau serta pembangunan bandar bersih, pintar dan rendah karbon demi meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Sementara itu, Pengarah Urusan Interhill Group, Albert Hu Yun Chai berkata, penyerahan Interhill Plaza menandakan penyempurnaan komitmen syarikat untuk menghadiahkan ruang awam yang telah dinaik taraf kepada MBM dan masyarakat Miri.
Katanya, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Interhill Group untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti menerusi penyediaan ruang yang lebih mesra, hijau dan inklusif untuk kegunaan orang ramai.
Penyerahan itu turut merealisasikan komitmen syarikat berkenaan sempena sambutan ulang tahun ke-20 MBM pada tahun lalu.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian di Miri Waterfront Commercial Centre pada Jumaat.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang.- EDISI UKAS