Jambatan Ikonik Bandar Lawas Dibuka Kepada Orang Ramai Hari Ini
LAWAS: Jambatan Ikonik Bandar Lawas mula dibuka kepada orang ramai pada 6 November 2026 selepas siap sepenuhnya serta memperoleh Sijil Siap Praktikal (CPC) dan melepasi Audit Keselamatan Jalan Raya pada 15 Oktober lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datuk Ismawi Ismuni berkata, jambatan berkenaan bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu Lawas menerusi reka bentuk unik dan sistem pencahayaan menarik, malah turut menyediakan kemudahan laluan kepada pelbagai jenis kenderaan termasuk kenderaan berat.
“Jambatan ini telah siap sepenuhnya dan memperoleh CPC pada 15 Oktober lalu berserta Audit Keselamatan Jalan Raya. Ini bermakna jambatan berkenaan sudah boleh digunakan oleh orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat media sempena Majlis Pelancaran Awal dan Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas di IAC Lawas di sini, pada Khamis.
Datuk Ismawi menambah, bagaimanapun, jambatan itu akan ditutup sementara dari 10 hingga 22 November bagi memberi laluan kepada persiapan majlis perasmian sebelum dibuka semula kepada orang ramai.
Majlis pelancaran awal pada 6 November akan disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga merupakan Pengerusi Northern Region Development Agency (NRDA).
Sementara itu, majlis perasmian rasmi pada 18 November akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 tetamu.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api serta Konsert Rakyat yang menampilkan Bob Sentuhan Baskes dan kumpulan D'Cinta.
Turut hadir, Pengarah NRDA Datuk Ubaidillah Latip serta Pengararah Pengurus Projek RECODA Mohammad Safri Ibrahim.-EDISI UKAS