22 Pelajar Islam SJK(C) Chung Hua Debak Sertai Majlis Khatam Al-Quran Kali Ke-4
DEBAK: Seramai 22 pelajar Islam Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua Debak menyertai Majlis Khatam Al-Quran Kali Ke-4 bagi meraikan kejayaan mereka menamatkan pengajian bacaan Al-Quran menerusi pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di peringkat sekolah.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Dr Mohammad Razi Sitam menyambut baik usaha pihak sekolah meneruskan penganjuran program berkenaan sebagai salah satu inisiatif memupuk kecintaan dan minat membaca al-Quran dalam kalangan pelajar Islam, selain memperkukuh kemahiran membaca, memahami serta mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya.
“Pembinaan generasi yang soleh, pintar, rabbani dan murabbi memerlukan komitmen semua pihak dalam menyediakan persekitaran yang kondusif untuk mendidik, mengajar, mengasuh dan menggilap potensi anak-anak dengan berlandaskan asas-asas Islam yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis tersebut di sekolah berkenaan pada Jumaat.
Menurutnya, kejayaan menamatkan bacaan al-Quran bukan sekadar pencapaian dalam pengajian, sebaliknya membawa mesej penting mengenai penghayatan terhadap makna ayat-ayat suci al-Quran serta kepentingannya dalam membentuk keperibadian dan akhlak yang baik.
Ujarnya, modal insan cemerlang yang diperlukan negara pada masa hadapan bukan sahaja perlu memiliki pengetahuan tinggi dan kemahiran, malah berpegang teguh kepada agama, mempunyai jati diri, beretika, inovatif serta berfikiran kelas pertama.
Dalam pada itu, Datuk Dr Mohammad Razi mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap cabaran perkembangan pesat teknologi dan media sosial, khususnya penyebaran maklumat palsu, provokasi serta berita berunsur fitnah yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat.
Dalam konteks Sarawak yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan, beliau menyeru agar semua pihak terus memelihara perpaduan, saling menghormati serta mengamalkan nilai-nilai kebaikan yang dianjurkan oleh setiap agama.
“Pembentukan masyarakat yang bersatu padu dan cemerlang memerlukan kesungguhan, keikhlasan serta ketekunan dalam melaksanakan setiap tanggungjawab, selaras dengan tuntutan agama dan nilai-nilai murni kehidupan,” tegas beliau. -EDISI UKAS