Pengguna Media Sosial Perlu Bertanggungjawab, Semak Kesahihan Maklumat Sepanjang Musim Pilihan Raya
KUCHING: Pengguna media sosial diingatkan supaya sentiasa beretika dan bertanggungjawab ketika berkongsi kandungan serta menyemak kesahihan maklumat bagi mengelakkan penyebaran berita palsu dan salah faham, khususnya sepanjang musim pilihan raya.
Dalam suasana perbezaan pandangan politik, setiap pengguna perlu memastikan pandangan yang dizahirkan dibuat secara sopan dan berhemah selaras dengan amalan demokrasi serta tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang bersifat provokatif, menghina, menghasut kebencian atau boleh mencetuskan ketegangan awam.
Platform digital sewajarnya dimanfaatkan untuk menyebarkan maklumat yang sahih dan membina, bukannya menjadi ruang menyebarkan kebencian, hasutan atau penghinaan terhadap mana-mana pihak.
Penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi untuk menyebarkan kandungan berunsur hasutan, penghinaan terhadap 3R, lucah, palsu, mengancam atau jelik melampau merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan dalam memantau, menyiasat dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang melanggar undang-undang, termasuk penyedia platform yang gagal memberikan kerjasama.-EDISI UKAS