Anjung Usahawan Limbang Perkukuh Ekosistem Keusahawanan Tempatan
LIMBANG: Pembangunan Anjung Usahawan Limbang di Penapak dijangka memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan menerusi penyediaan kemudahan perniagaan bersepadu bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
Kemudahan yang dibangunkan menerusi inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya di kawasan luar bandar.
Projek yang bermula pada 15 November 2024 itu berjaya disiapkan pada 28 Julai 2026 dan dilengkapi tiga kawasan pemprosesan, sebuah kafe siber, dua kedai runcit serta tujuh gerai makanan bagi menyokong pelbagai aktiviti perniagaan.
Kemudahan tersebut berpotensi menjadi pusat kegiatan ekonomi komuniti dengan menyediakan ruang kepada usahawan tempatan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan, meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperluas akses pasaran.
Perkara itu antara yang ditinjau menerusi lawatan MINTRED ke Anjung Usahawan berkenaan pada Khamis bagi melihat kemudahan serta perkembangan infrastruktur keusahawanan yang disediakan.
Lawatan diketuai Timbalan Setiausaha Tetap MINTRED Lo Sheau Sia dan turut dihadiri Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotilla Louise @ Rozita Kulai, Ketua Bahagian Usahawan MINTRED Zarifhadi Bujang wakil Majlis Daerah Limbang, Setiausaha Koperasi Usahawan Limbang Berhad Nordin Osman serta konselor-konselor Daerah Limbang.- EDISI UKAS