Pengurusan Tabung Pendidikan Bakun dan Murum Diperkemaskan, Sokong Prestasi Akademik Pelajar
BINTULU: Penambahbaikan pengurusan Tabung Pendidikan Bakun dan Murum terus diberi perhatian bagi memastikan pelaksanaan inisiatif pendidikan berkenaan lebih berkesan dalam menyokong peluang pembelajaran dan pencapaian akademik pelajar di kawasan Bakun dan Murum.
Usaha itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Tabung Pendidikan Bakun dan Murum yang dipengerusikan Kennedy Chukpai Ugon di sebuah hotel di sini, pada Khamis.
Mesyuarat yang dihadiri kira-kira 25 peserta itu menghimpunkan wakil Sarawak Energy, agensi pendidikan, pihak sekolah, pemimpin masyarakat serta pihak berkepentingan bagi meneliti perkembangan pelaksanaan tabung berkenaan.
Antara perkara yang diberi tumpuan termasuk laporan pelaksanaan program, pencapaian akademik pelajar, tindakan susulan daripada mesyuarat terdahulu serta cadangan penambahbaikan dalam aspek pengurusan dan pelaksanaan tabung.
Perbincangan turut membuka ruang kepada pihak terlibat untuk berkongsi pandangan, mengenal pasti cabaran serta membincangkan langkah penyelesaian bagi memastikan bantuan pendidikan dapat disalurkan dan diuruskan dengan lebih teratur serta berkesan.
Kerjasama berterusan antara Sarawak Energy, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pemimpin masyarakat penting bagi memastikan manfaat tabung tersebut dapat disampaikan kepada golongan pelajar, sekali gus menyokong pembangunan pendidikan di kawasan Bakun dan Murum.
Turut hadir Pengurus Besar Pengurusan Impak Sosial Sarawak Energy, Jiwari Abdullah, Pengurus Stesen Bakun HEP, Encharang Ngtingih dan Pengurus Stesen Murum HEP, Annevella Mathew.-EDISI UKAS