DEBAK: Program Saribas Berselawat 2026 menjadi platform memperkukuh ukhuwah Islamiah dan menyemai kecintaan terhadap Rasulullah SAW dalam kalangan masyarakat menerusi pengisian keagamaan yang menghimpunkan kira-kira 120 peserta di Dewan Perpaduan Debak, pada Khamis.
Program anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak (LAKMD) itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam.
Pengisian program dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah di Masjid Al-Azim, Debak, sebelum diteruskan dengan ceramah agama yang disampaikan penceramah jemputan, Ustaz Azmi Shaari.
Ceramah tersebut memberi penekanan terhadap penghayatan ajaran Islam serta kepentingan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
Selepas solat Isyak, program diteruskan di Dewan Perpaduan Debak dengan majlis berselawat yang dipimpin kumpulan Syabaabul Abidin, sekali gus menyemarakkan suasana dengan lantunan selawat dan puji-pujian ke atas Nabi Muhammad SAW.
Pengisian turut diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid Hijjaz menerusi lagu-lagu berunsurkan ketuhanan dan kerohanian yang menambahkan penghayatan hadirin sepanjang program berlangsung.
Penganjuran program berkenaan diharap dapat terus menghidupkan budaya berselawat, memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan bermasyarakat.
Turut hadir wakil Pegawai Daerah Betong, Mohammad Shahril Gasit, Temenggong Piee Alwi, serta Awang Nashfarini Awang Sarbini.-EDISI UKAS