Sekretariat Sukan SEA Malaysia 2027 Kluster Sarawak Guna ECOMS Licinkan Gerak Kerja
KUCHING: Sekretariat Sukan SEA Malaysia 2027 Kluster Sarawak akan menggunakan sistem pengurusan khas, Event Coordination & Management System (ECOMS) bagi melicinkan gerak kerja sepanjang penganjuran Sukan SEA Ke-34.
Sistem yang sedang dibangunkan oleh Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) itu akan membolehkan pemantauan rapi dibuat terhadap pelaksanaan setiap tugasan oleh 21 jawatankuasa terlibat dalam Sukan SEA 2027 agar dapat disiapkan mengikut masa yang telah ditetapkan.
Penggunaan sistem ini juga dilihat seiring dengan transformasi sistem pentadbiran kerajaan negeri ke arah pendigitalan yang menekankan keberhasilan tinggi dalam setiap pelaksanaan tugas.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Sekretariat Sukan SEA Malaysia 2027 Kluster Sarawak, Datu Hii Chang Kee berkata, ECOMS akan memastikan penetapan dan pemantauan tugasan dilakukan secara lebih efisien dan tersusun.
“Melalui sistem ini, setiap ketua dan petugas yang bertanggungjawab bagi setiap jawatankuasa akan lebih peka dan ‘accountable’ terhadap tugasan yang telah diamanahkan.
“ECOMS akan mempercepatkan respon dari setiap jawatankuasa dan tindakan segera diambil terhadap tugasan masing-masing,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat mengenai sistem tersebut di sini pada Jumaat.
Menurut Datu Hii lagi, penggunaan ECOMS diyakini lebih efektif berbanding penggunaan kaedah konvensional seperti aplikasi WhatsApp dan pelbagai lagi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar sistem sama turut digunakan dalam pengurusan penganjuran kejohanan-kejohanan sukan antarabangsa yang lain termasuk acara-acara tonggak di negeri ini.
Sebagai proses ujian katanya, satu taklimat bersama semua 21 jawatankuasa terlibat akan diadakan pada 16 November ini bagi menilai keberkesanan sistem berkenaan.
Hadir sama semasa mesyuarat tersebut Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MySED) Datu Dzulkarnain Masron, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SAINS Busiai Seman serta wakil dari sekretariat Sukan SEA Malaysia 2027 Kluster Sarawak. - EDISI UKAS