Wanita PBB Mahu Pastikan Sokongan GPS Diterjemah Kepada Undi
KUCHING: Jentera Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan memberi tumpuan kepada usaha mendekati pengundi baharu, menyelaras gerak kerja akar umbi dan memastikan penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) keluar mengundi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Ketua Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pertambahan pengundi susulan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani jentera parti sepanjang tempoh kempen.
“Cabaran utama ialah pertambahan jumlah pengundi baharu susulan pendaftaran automatik bagi pengundi layak yang perlu kita dekati,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, pengesahan tarikh penamaan calon dan pengundian membolehkan jentera Wanita di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menyusun strategi serta menyesuaikan gerak kerja mengikut tempoh kempen yang ditetapkan.
Katanya lagi, Wanita PBB akan bergerak bersama sayap Pemuda, Belia dan Bapa sebagai satu pasukan GPS, dengan penyelarasan diketuai Ketua Bilik Gerakan di peringkat Cawangan dan Ranting.
Mengulas cabaran mendekati pengundi di kawasan luar bandar dan pedalaman, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak itu menjelaskan faktor jarak, pengangkutan, perjalanan sungai serta keadaan cuaca memerlukan perancangan pergerakan yang lebih teliti.
Bagaimanapun, beliau yakin kekuatan jaringan akar umbi Wanita PBB yang telah lama bertapak dalam komuniti mampu membantu jentera menangani cabaran berkenaan.
“Kekuatan kita terletak pada kehadiran dalam komuniti, walaupun sebelum pilihan raya, serta hubungan langsung dengan masyarakat,” katanya.
Katanya, jentera perlu memanfaatkan tempoh kempen dengan menyusun lawatan secara strategik, memperkukuh koordinasi bersama pemimpin cawangan dan memastikan tiada komuniti yang terpinggir.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah berkata, persiapan jentera juga perlu merangkumi tiga peringkat utama, iaitu mengenal pasti pengundi dan memahami keperluan mereka sebelum pilihan raya, menyampaikan mesej kempen dengan jelas serta memastikan penyokong keluar mengundi pada hari pengundian.
“Mandat politik yang kuat bukan hanya bergantung kepada jumlah orang yang menyokong kita, tetapi juga berapa ramai daripada mereka yang benar-benar keluar mengundi.
“Justeru, mobilisasi pengundi merupakan tanggungjawab penting pasukan yang diselaraskan dengan baik, merangkumi Wanita, Pemuda, Belia dan Bapa,” katanya lagi. - EDISI UKAS