Ekspo Pendidikan FTES 2026 Perluas Akses Pengajian Tinggi Anak Sarawak
SERIAN: Ekspo Pendidikan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) Yayasan Sarawak dan Karnival Pendidikan MADANI 2026 menjadi platform penting dalam memperluas akses maklumat mengenai peluang pengajian tinggi, bantuan pendidikan serta hala tuju kerjaya kepada anak-anak Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendidikan merupakan asas utama pembangunan negeri dalam melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak terus memberikan keutamaan kepada pendidikan, inovasi dan pembangunan bakat sebagai antara agenda strategik bagi merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, pelaksanaan FTES merupakan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan anak-anak negeri yang berkelayakan mendapat peluang melanjutkan pengajian tinggi tanpa dibatasi kekangan kewangan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Pendidikan FTES Yayasan Sarawak dan Karnival Pendidikan MADANI 2026 di sini pada Jumaat.
Program yang berlangsung di Serian Conference Centre itu menghimpunkan pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan serta rakan strategik bagi memberi pendedahan secara langsung mengenai syarat kemasukan, biasiswa, dermasiswa, latihan kemahiran dan prospek kerjaya.
Inisiatif itu diterajui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), dengan Yayasan Sarawak bertindak sebagai agensi pelaksana bagi memastikan manfaatnya dapat disalurkan secara teratur dan berkesan.
Dalam pada itu, Dato Sri Roland berkata, penganjuran ekspo berkenaan turut membuka ruang kepada pelajar meneroka pelbagai laluan pendidikan, termasuk bidang akademik, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), profesional serta keusahawanan.
Jelasnya, penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), inovasi serta penyelidikan amat penting bagi menyediakan generasi muda menghadapi perubahan ekonomi dan keperluan industri masa hadapan.
Beliau turut menyeru ibu bapa supaya memainkan peranan aktif dalam mengenal pasti minat dan potensi anak-anak, selain memberikan sokongan berterusan terhadap perkembangan pendidikan mereka.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Dato Omar Mahli berkata, penganjuran program berkenaan turut memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan, ibu bapa, industri dan komuniti dalam membentuk ekosistem pendidikan yang menyeluruh.
Menurutnya, kejayaan seseorang pelajar bukan sahaja bergantung kepada usaha guru di bilik darjah, malah turut memerlukan sokongan keluarga, masyarakat dan pelbagai pihak berkepentingan.
Program sehari anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Yayasan Sarawak itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk senamrobik, Bicara Nadi Negara, Bicara Pendidik, taklimat pendidikan, pameran serta penyampaian hadiah kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong, Pegawai Pendidikan Daerah Serian, Bunsie Tunton dan Ketua Eksekutif Sektor Pengurusan Penyampaian Kementerian Pendidikan, Dr. Rosdy Wahid.-EDISI UKAS