Jalan Kampung Badul Singai Dinaik Taraf, Dijangka Siap November 2027
BAU: Penduduk Kampung Badul Singai bakal menikmati kemudahan jalan raya yang lebih selesa dan selamat menerusi pelaksanaan projek menaik taraf jalan kampung sepanjang 2.5 kilometer yang dijangka siap pada November 2027.
Projek di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) itu melibatkan pelebaran jalan sedia ada daripada tiga meter kepada enam meter, sekali gus meningkatkan kelancaran trafik dan kemudahan pergerakan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, projek berkenaan dijadual bermula pada 12 November 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama 12 bulan.
Beliau optimis kontraktor yang dilantik mampu menyiapkan projek itu lebih awal daripada jadual sekiranya pelaksanaannya berjalan lancar tanpa sebarang halangan.
Menurutnya, skop projek merangkumi kerja pelebaran dan penurapan jalan menggunakan campuran asfalt (premix), selain pembinaan dua unit pembentung kotak berkembar berukuran tiga meter x tiga meter.
Projek itu turut melibatkan pembinaan dua unit pembentung paip berkembar jenis polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) berdiameter 0.6 meter bagi meningkatkan sistem saliran di kawasan berkenaan.
“Jalan yang lebih lebar mengurangkan kesesakan, membolehkan kenderaan berselisih dengan mudah dan mempercepatkan perjalanan harian penduduk.
“Ini juga akan memberi ruang parkir kereta yang lebih teratur untuk penduduk dan pelawat, mengelakkan kenderaan diletakkan di atas laluan sempit yang menyekat trafik ketika hari perayaan atau upacara sembahyang di rumah penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan sesi penyerahan projek oleh agensi pelaksana, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bau kepada kontraktor yang dilantik di Dewan Serbaguna Kampung Badul Singai di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Jurutera Daerah JKR Bau, Allyson Hilbert, Pegawai Tadbir GKCDA, Mellisa Fiona, Penolong Pegawai Tadbir yang mewakili Pegawai Daerah Bau, Danny Ngumbang Martin Engkujang dan Ketua Kaum Kampung Badul Singai, Ripoh Runab.-EDISI UKAS