Sarawak Traffic Games Pupuk Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sejak Usia Muda
MIRI: Sarawak Traffic Games (STG) Peringkat Bahagian Miri 2026 menjadi platform pendidikan keselamatan jalan raya secara praktikal bagi memupuk kesedaran dan disiplin dalam kalangan murid sejak usia muda.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kepentingan pendidikan tersebut semakin ketara apabila sebanyak 16,776 kemalangan jalan raya, termasuk 293 kes maut, direkodkan di seluruh Sarawak bagi tempoh Januari hingga September 2026.
“Menurut statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah itu bersamaan purata lebih 60 kemalangan sehari sepanjang tempoh sembilan bulan berkenaan.
“Di Miri sendiri, beberapa laluan dikenal pasti sebagai kawasan yang kerap berlaku kemalangan, termasuk Jalan Miri–Pujut–Lutong, Jalan Miri–Bintulu, Jalan Miri–Airport dan Jalan Kuala Baram By-Pass,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Sarawak Traffic Games Peringkat Bahagian Miri 2026 di Taman Lalu Lintas Miri pada Jumaat.
Dato Sri Lee berkata, usaha mengurangkan kemalangan jalan raya bukan sahaja memerlukan penguatkuasaan, tetapi juga peningkatan kesedaran dan pendidikan masyarakat, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Menurutnya, menerusi STG, murid-murid berpeluang mempelajari aspek keselamatan jalan raya secara praktikal dan interaktif, termasuk mengenali papan tanda, lampu isyarat, lintasan pejalan kaki serta persimpangan jalan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Residen Miri, pihak sekolah, guru-guru, ibu bapa serta semua jabatan dan agensi yang menjayakan program berkenaan.
Sementara itu Traffic Games bagi sekolah rendah dijuarai oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Bintang diikuti naib juara SK Miri dan tempat ketiga Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) North.
Johan bagi sekolah menengah ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pujut diikuti naib johan SMK Lutong dan ketiga SMK Saint Columba. – EDISI UKAS