KOTA SAMARAHAN: Karnival Perpaduan Stakan menjadi platform strategik dalam memperkukuh perpaduan, keharmonian dan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta kebudayaan.
Penganjuran oleh Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Pusat Komersial Taman Unicentral pada Jumaat itu turut bertujuan mengeratkan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu serta aktif.
Antara pengisian utama pada hari pelancaran karnival ialah pertandingan reka bentuk kreatif berkonsepkan 5R (Reduce, Reuse, Recycle, Rethink, Repair) dan pertandingan mewarna bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MPKS, Marilyn Diba Cagai berkata, pertandingan reka bentuk kreatif 5R mengetengahkan hasil kreativiti komuniti setempat menerusi penghasilan produk menggunakan bahan kitar semula.
“Pertandingan reka bentuk kreatif 5R dan pertandingan mewarna ini melibatkan penyertaan daripada pihak komuniti serta institusi pendidikan termasuk tadika dan sekolah rendah,” katanya semasa berucap.
Sebanyak 12 hasil penyertaan daripada komuniti dan sekolah diketengahkan bagi kategori reka bentuk kreatif 5R, manakala pertandingan mewarna menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 40 penyertaan melibatkan peserta daripada peringkat tadika hingga sekolah rendah.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan disempurnakan bersama Pengerusi MPKS, Kr. Abang Ismawi Abang Ali dan Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak.
Selain aktiviti pertandingan, karnival berkenaan turut menyediakan reruai pameran daripada pelbagai agensi termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan MPKS bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat serta perkhidmatan secara terus.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi MPKS, Kr. Daily Joseph, Setiausaha MPKS, Zuraida Idris serta Pengerusi Pengelola Karnival Perpaduan Stakan, Kr. Prof. Madya Dr. Sopian Bujang.-EDISI UKAS