Kesiapsiagaan Bekalan Asas Sarawak, Sabah Perlu Diberi Perhatian
KUCHING: Kesiapsiagaan bekalan asas di Sarawak dan Sabah perlu diberikan perhatian khusus dalam menghadapi ketidaktentuan global, terutama melibatkan keperluan kawasan pedalaman, sempadan, pulau dan penempatan terpencil yang berdepan cabaran logistik.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim dalam kenyataan pada Jumaat berkata, keperluan bekalan bagi kawasan berkenaan perlu diteliti secara khusus kerana faktor jarak dan cabaran pengangkutan berbeza berbanding Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, ketidaktentuan geopolitik, konflik antarabangsa serta kemungkinan gangguan laluan perdagangan boleh memberi kesan kepada bekalan tenaga dan makanan, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan serta harga barangan.
Menurut beliau, hampir 40 peratus keperluan minyak mentah Malaysia melalui Selat Hormuz seperti yang pernah dimaklumkan PETRONAS, sekali gus menunjukkan bahawa kedudukan negara sebagai pengeluar minyak tidak bermakna Malaysia bebas daripada risiko gangguan bekalan import.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penilaian ketahanan negara dilaksanakan dengan melibatkan Majlis Keselamatan Negara, kementerian berkaitan, PETRONAS serta kerajaan negeri bagi mengenal pasti tahap kesiapsiagaan menghadapi gangguan bekalan antarabangsa.
Antara aspek yang perlu diberikan perhatian termasuk ketelusan tahap stok penimbal dan pelan pengagihan petrol, diesel, gas memasak serta makanan asas, selain melaksanakan ujian tekanan bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan antarabangsa selama 30, 60 dan 90 hari.
Bagi Sarawak dan Sabah, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kesiapsiagaan agensi keselamatan, termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi sempadan, selain memastikan keselamatan laluan laut serta keupayaan logistik tempatan terus diberikan perhatian.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Pertahanan dan Keselamatan, Majlis Dewan Negara itu berkata perlindungan bekalan elektrik, air, komunikasi dan perkhidmatan kesihatan juga perlu menjadi sebahagian daripada perancangan kesiapsiagaan negara, termasuk pelaksanaan latihan kesiapsiagaan komuniti tanpa menggalakkan pembelian panik.
Beliau turut mengingatkan bahawa perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan automasi perlu diseimbangkan dengan kebajikan pekerja menerusi latihan semula serta penyediaan peluang pekerjaan, khususnya bagi golongan muda.
Beliau berharap agenda ketahanan bekalan, pertahanan, pekerjaan serta pembangunan Sabah dan Sarawak diberikan penekanan dalam pelaksanaan Belanjawan 2027 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).-EDISI UKAS