Rakyat Diseru Tidak Terpengaruh Naratif Pihak Luar
SIBU: Rakyat Sarawak, khususnya golongan muda, diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai naratif pihak luar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, sebaliknya terus mempertahankan perpaduan demi kestabilan dan masa depan negeri.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, perpaduan antara kaum merupakan asas penting dalam memastikan keamanan dan kestabilan Sarawak terus terpelihara.
“Jangan sama sekali kita terpengaruh dengan masyarakat-masyarakat luar yang akan datang dalam masa seminggu dua minggu ini dengan menjual macam-macam cerita untuk pastikan mereka terpengaruh.
“Kita anak Sarawak, baik daripada Iban, Melayu, Melanau, Bidayuh ataupun Orang Ulu, harus menjaga negeri ini sepenuh hati untuk memastikan negeri ini dapat kita pertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesra Bersama Pemuda Nangka bertemakan Perpaduan di Dewan Canselor Tun Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini, pada Jumaat.
Tambahnya, perpaduan yang dinikmati masyarakat Sarawak ketika ini merupakan hasil kebijaksanaan pemimpin terdahulu serta kesedaran rakyat untuk hidup dalam suasana saling menghormati.
Ujar beliau, perpecahan dalam kalangan masyarakat boleh menjejaskan keselamatan sesebuah negeri dan menghalang usaha pembangunan.
“Jika kita mempertahankan perpaduan ini, tidak ada sesiapa pun yang mampu menggugat kedudukan kita. Dengan itu, kita dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan negeri,” ujarnya. -EDISI UKAS