LAKMD Anjur Majlis Kesyukuran Raikan Kejayaan Datuk Dr Mohammad Razi Tamat Pengajian PhD
DEBAK: Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak (LAKMD) menganjurkan Majlis Kesyukuran dan Tahlil Ringkas bagi meraikan kejayaan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Majlis yang berlangsung di Masjid Al-Azim, Debak pada Jumaat itu turut diisi dengan bacaan tahlil ringkas bagi memperingati arwah bapa Datuk Dr Mohammad Razi sebagai tanda penghormatan serta mengenang jasa dan pengorbanannya.
Penganjuran majlis berkenaan merupakan inisiatif LAKMD sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan akademik yang diraih, selain menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat Melayu di Daerah Kecil Debak.
Majlis tersebut turut dihadiri Setiausaha Eksekutif Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Negeri Sarawak, Datu Takun Sunggah dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB Sarawak, Sulhi Salleh. -EDISI UKAS