GPS Sedia Hadapi PRN, Jentera Parti Komponen Mula Disusun
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan jentera parti di setiap komponen sudah mula disusun dan berada dalam keadaan bersiap siaga.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, pilihan raya merupakan proses demokrasi bagi memberi mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang akan mentadbir Sarawak bagi tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata, persiapan parti bukan hanya bermula menjelang pilihan raya, sebaliknya gerak kerja telah dilaksanakan secara berterusan sejak pilihan raya sebelumnya.
“Sebenarnya kita kerja sepanjang waktu. Daripada pilihan raya yang lepas kita dah mula bekerja.
“Jadi ini hanyalah proses demokrasi di mana kita kena mengadakan pilihan raya dan jentera kita sudah pun bersiaga-siaga,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Gelanggang Futsal PDRM Kontinjen Sarawak di sini, pada Sabtu.
Menurut Datuk Amar Fadillah, jentera setiap parti komponen GPS turut bekerjasama rapat dalam memastikan segala persiapan termasuk penyelarasan gerak kerja dan logistik dapat dilaksanakan dengan teratur.
Mengulas tempoh berkempen selama 14 hari yang ditetapkan bagi pilihan raya, ujarnya, GPS menghormati keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bersedia menyesuaikan gerak kerja mengikut tempoh yang ditetapkan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Mia Amira Jalil