Lebih 200 Anak Kampung Sebako Catat Pencapaian dalam Pendidikan Tinggi
LUNDU: Kampung Sebako mencatat pencapaian dalam bidang pendidikan apabila mempunyai lebih 200 graduan dalam pelbagai peringkat pengajian, daripada diploma hingga Doktor Falsafah (PhD).
Pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif kesedaran masyarakat luar bandar terhadap kepentingan pendidikan tinggi sebagai salah satu usaha meningkatkan taraf hidup keluarga dan komuniti.
Selain itu, jumlah penerima bantuan pendidikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar turut meningkat kepada 239 orang pada tahun ini, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada anak tempatan untuk melanjutkan pengajian.
Perkembangan tersebut mencerminkan kepentingan sokongan berterusan ibu bapa dalam membimbing anak-anak agar dapat mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang pengajian dan profesional.
Perkara berkaitan pendidikan dan pembangunan modal insan itu dikongsikan menerusi Program Randau Kasih Bersama Komuniti Kampung Sebako yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Sebako 2, pada Jumaat.
Program anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sebako 1 dan JKKK Kampung Sebako 2 itu turut menyediakan ruang perkongsian antara penduduk pelbagai generasi mengenai pandangan, pengalaman serta perkembangan komuniti dan keperluan pembangunan komuniti.
Sesi perkongsian tersebut menjadi platform menghubungkan generasi terdahulu dengan generasi muda dalam menelusuri sejarah serta transformasi kampung, di samping membincangkan aspirasi dan keperluan pembangunan komuniti pada masa hadapan.-EDISI UKAS