Graduan SMK Spaoh Diseru Teruskan Pengajian Ke Peringkat Lebih Tinggi
SPAOH: Graduan Tingkatan 5 dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh diseru menjadikan kejayaan menamatkan alam persekolahan sebagai titik permulaan untuk melangkah lebih jauh dalam bidang pendidikan dan kehidupan.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, para graduan perlu mula merancang masa depan, khususnya menentukan hala tuju untuk menyambung pengajian ke peringkat institusi pendidikan tinggi.
"Anda merupakan bakal sumber manusia yang akan menyumbang kepada pembangunan kawasan Spaoh dan Betong pada masa hadapan.
"Sehubungan itu, saya berharap pencapaian yang diraih menjadi pemangkin kepada para graduan untuk terus melangkah maju, mengejar cita-cita dan membina masa depan yang lebih cemerlang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Tingkatan 5 dan PPKI SMK Spaoh 2026 di Dewan Sinaran SMK Spaoh, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dato Dr Richard turut mengetengahkan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) sebagai inisiatif Kerajaan Sarawak dalam menyediakan peluang pendidikan tinggi secara percuma kepada anak Sarawak yang layak.
Ujarnya, inisiatif tersebut bertujuan memastikan tiada anak Sarawak tercicir daripada memperoleh pendidikan tinggi disebabkan kekangan kewangan, selain melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan ekonomi negeri pada masa hadapan. -EDISI UKAS