Gelanggang Futsal PDRM Sarawak Dibina Dengan Peruntukan RM800,000
KUCHING: Kemudahan Gelanggang Futsal Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak yang dibangunkan dengan peruntukan RM800,000 dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh kecergasan fizikal serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan anggota pasukan keselamatan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan perlu sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan mereka mampu melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat dengan lebih berkesan.
“Futsal ini bukan sahaja salah satu cara untuk kita tingkatkan kecergasan tubuh badan, tetapi sebenarnya membina semangat kerja berpasukan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian gelanggang tersebut di sini, pada Sabtu.
Menurut Datuk Amar Fadillah, pasukan keselamatan kini berdepan cabaran yang semakin kompleks susulan perkembangan teknologi, termasuk perubahan modus operandi kegiatan penyeludupan, pengedaran dadah serta perjudian dalam talian.
Justeru, katanya, usaha memperkukuh keupayaan dan kemahiran anggota perlu dilaksanakan secara berterusan, selain meningkatkan kerjasama erat antara pihak keselamatan dengan masyarakat dalam membendung kegiatan jenayah.
Beliau berharap kemudahan gelanggang futsal berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja untuk aktiviti sukan dan riadah, malah sebagai ruang mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga PDRM Kontinjen Sarawak.
Kerja-kerja pembinaan gelanggang berkenaan bermula pada 11 Februari 2025 dan siap sepenuhnya pada 10 Oktober 2025.
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak dengan memangku pangkat Komisioner. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Mia Amira Jalil