Bangunan Baharu PERKIM Lawas Perkasa Aktiviti Kebajikan Dan Kemasyarakatan
LAWAS: Bangunan baharu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Lawas bakal memperkukuh pelaksanaan aktiviti keagamaan, kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan menerusi penyediaan kemudahan yang lebih selesa serta kondusif.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, PERKIM memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menyebarkan dakwah dan memperkukuh kefahaman Islam, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat menerusi pelbagai program kemasyarakatan.
Menurut beliau, meskipun PERKIM Cawangan Lawas masih baharu berbanding cawangan lain, pertubuhan itu aktif melaksanakan program merangkumi bidang keagamaan, kebajikan, kesihatan dan pendidikan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bangunan Baharu PERKIM Cawangan Lawas pada Jumaat.
Datuk Amar Awang Tengah turut menegaskan kepentingan memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak melalui semangat kebersamaan, saling memahami serta hormat-menghormati.
Sehubungan itu, beliau berharap kemudahan baharu berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperluas aktiviti pertubuhan, selain menarik lebih ramai golongan muda dan beliawanis menyertai program anjurannya.
Sementara itu, Pengerusi PERKIM Cawangan Lawas, Dato’ Dayang Morliah Awang Daud merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas sokongan dan peruntukan yang membolehkan pembinaan bangunan berkenaan direalisasikan.
Beliau turut menghargai sumbangan Tecktonic & Sons Holdings Sdn. Bhd. menerusi Pengarah Urusannya, Lee Chin Teck, dalam membantu menyediakan kemudahan dan kelengkapan bangunan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong serta Residen Bahagian Limbang Unus Tambi.- EDISI UKAS