Ancaman Siber: Polis Sarawak Perkukuh Persiapan Awal Menerusi Kerjasama Strategik
KUCHING: Polis Sarawak akan memperkukuh persiapan awal menghadapi kemungkinan ancaman serangan siber menerusi kerjasama strategik dengan CyberSecurity Sarawak dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kepentingan orang awam terus terpelihara.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Komisioner Saifullizan Ishak berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial telah diarahkan mengadakan mesyuarat kolaborasi dengan CyberSecurity Sarawak pada minggu depan bagi menyelaras peranan dan tindakan setiap agensi sekiranya berlaku serangan siber.
“Saya rasa tindakan awal perlu diambil, khususnya dari segi penyelarasan tugas dan persiapan sekiranya berlaku serangan siber.
“Kita sudah mula mengambil langkah ke arah itu dan akan turut melibatkan CyberSecurity Sarawak bagi memastikan kerjasama serta penyelarasan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Gelanggang Futsal PDRM Kontinjen Sarawak yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof di sini, pada Sabtu.
Menurut Saifullizan, kerjasama itu turut melibatkan agensi di peringkat Persekutuan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi keselamatan siber bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi sebarang ancaman.
Dalam perkembangan berkaitan, Polis Sarawak setakat ini menerima empat laporan daripada pelanggan bank susulan isu kegagalan pengeluaran wang menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM), namun punca kejadian masih dalam penelitian dan dipercayai berkemungkinan berpunca daripada masalah teknikal.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak keperluan mengambil langkah persediaan lebih awal bagi memastikan penyelarasan antara agensi dapat dilaksanakan dengan berkesan sekiranya berlaku ancaman siber pada masa hadapan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Mia Amira Jalil