Kestabilan Ekonomi, Keupayaan Menjana Pendapatan Asas Pembangunan Sarawak
KUCHING: Keupayaan Sarawak menjana sumber pendapatan sendiri dan mengurus kewangan secara mampan menjadi antara faktor penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, usaha memperkukuh sumber kewangan negeri bukan sesuatu yang mudah, khususnya dalam keadaan ekonomi global yang mencabar serta kekangan aliran tunai yang turut dihadapi kerajaan dalam melaksanakan perbelanjaan.
“Namun, keadaan Sarawak ketika ini bukanlah sekadar nasib baik, sebaliknya hasil kepimpinan Premier Sarawak yang bijak mencari sumber pendapatan, cekap mengurus kewangan serta kreatif meneroka kaedah baharu untuk menjana hasil negeri.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (SSWFF), selain pelaksanaan cukai jualan bagi meningkatkan pendapatan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sarawak Kita Empun (SKE) 3.0 Zon Kuching, di sini pada Sabtu.
Datuk Amar Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menambah, keupayaan Sarawak merancang pembangunan berdasarkan dasar yang jelas turut memberi keyakinan kepada pelabur antarabangsa untuk meneroka peluang pelaburan di negeri ini.
Katanya, kehadiran pelabur serta wakil diplomatik dari pelbagai negara yang berkunjung terus ke Sarawak mencerminkan minat terhadap potensi ekonomi negeri, khususnya dalam persekitaran pentadbiran yang mempunyai hala tuju pembangunan tersendiri.
“Justeru, pelabur kini datang secara langsung ke Sarawak tanpa perlu melalui Semenanjung Malaysia.
“SoftBank, misalnya, datang terus ke Sarawak untuk mengadakan pertemuan dengan Premier, begitu juga ramai duta dari negara-negara Eropah dan negara lain yang turut datang bertemu beliau kerana hal ini didorong oleh dasar Sarawak yang jelas serta kestabilan politik negeri yang kukuh,” ujar beliau lagi.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Negara Dato Ahmad Ibrahim serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS