PBB Saribas Mantapkan Jentera Pilihan Raya Hadapi PRN Sarawak Ke-13
DEBAK: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.35 Saribas terus memperkukuh kesiapsiagaan jentera pilihan raya menerusi Program Pemantapan Jentera Pilihan Raya dan Taklimat Petugas PACA bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Program diadakan di Dewan Perpaduan, Debak pada Sabtu merupakan inisiatif PBB Cawangan N.35 Saribas bertujuan memantapkan peranan jentera pilihan raya serta meningkatkan kefahaman petugas mengenai tanggungjawab dan persiapan menjelang PRN akan datang.
Majlis penangguhan program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam yang turut menyampaikan ucapan mengenai persiapan politik, perkembangan keahlian parti serta agenda pembangunan Kerajaan Sarawak.
Dalam ucapannya, beliau berkata pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 26 Oktober 2026 telah membuka laluan kepada PRN Sarawak Ke-13, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 6 November 2026 menetapkan 28 November sebagai Hari Penamaan Calon, 8 Disember sebagai Hari Undi Awal dan 12 Disember sebagai Hari Mengundi.
Menurut beliau, DUN N.35 Saribas terus menunjukkan perkembangan positif dari segi sokongan politik kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan PBB berdasarkan peningkatan sokongan dalam tiga PRN terdahulu, iaitu pada 2011, 2016 dan 2021.
Beliau berkata, kejayaan berkenaan merupakan hasil kerjasama erat antara AJK ranting, cawangan, jentera parti serta para pengundi yang terus memberikan sokongan kepada perjuangan GPS.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera parti supaya meningkatkan gerak kerja kempen dan memperkukuh kerjasama bagi memastikan kemenangan besar calon GPS pada PRN Sarawak Ke-13.
Dari segi statistik pengundi, jumlah pengundi berdaftar DUN N.35 Saribas setakat Daftar Pemilih Tetap (DPT) September 2026 ialah seramai 17,383 orang berbanding 10,984 orang pada PRN Sarawak Ke-12 tahun 2021.
Peningkatan tersebut dipengaruhi pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik bagi rakyat berumur 18 tahun ke atas serta pertambahan pengundi melalui pemindahan tempat mengundi.
Dalam perkembangan berkaitan keahlian parti, jumlah keahlian PBB di DUN Saribas setakat Oktober 2026 direkodkan seramai 9,793 orang.
Usaha memperluas keahlian terus dilaksanakan melalui pembukaan kaunter pendaftaran semasa program komuniti, selain sokongan Pejabat PBB yang turut membantu membuka kaunter pendaftaran keahlian di kawasan DUN Saribas.
Datuk Mohammad Razi turut menyentuh pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak di kawasan DUN Saribas bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta membuktikan komitmen kerajaan terhadap pembangunan luar bandar.
Katanya, Penubuhan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) juga dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh agenda pembangunan di kawasan Saribas, dengan pelbagai projek berimpak besar telah dilaksanakan dan sebahagiannya masih dalam perancangan.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak turut komited terhadap Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang bertujuan menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030, dengan pendapatan tinggi serta pembangunan mampan yang merangkumi semua lapisan masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan pembangunan kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur, khususnya di kawasan luar bandar, tetapi turut merangkumi program kebajikan dan bantuan yang dapat meringankan beban kewangan rakyat serta meningkatkan kesejahteraan sosial, termasuk kebajikan warga emas.
Program berkenaan diharap dapat memperkukuh kesiapsiagaan jentera PBB Cawangan N.35 Saribas serta meningkatkan komitmen seluruh petugas dalam memastikan kelancaran gerak kerja pilihan raya dan menyokong agenda pembangunan Sarawak menjelang PRN Sarawak Ke-13.
Hadir sama Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu, Setiausaha Eksekutif PBB Negeri Sarawak, Datuk Takun Sunggah serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB Sarawak, Sulhi Saleh. - EDISI UKAS