Lima Teras Pembangunan Perkukuh Kemudahan dan Kesejahteraan Penduduk Pujut
MIRI: Pembangunan kawasan Pujut akan terus diberi tumpuan menerusi lima teras utama yang merangkumi penambahbaikan infrastruktur, pendidikan, persekitaran kejiranan, pembangunan keagamaan dan kesejahteraan masyarakat bagi tempoh lima tahun akan datang.
Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang berkata, perancangan itu bertujuan memastikan pembangunan kawasan berkenaan terus dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi manfaat langsung kepada penduduk.
“Bagi tempoh lima tahun akan datang, lima teras pembangunan sedang dirangka dengan memberi tumpuan kepada penambahbaikan jalan raya dan sistem perparitan, persekitaran kejiranan lebih bersih dan hijau, pendidikan generasi muda, pembangunan keagamaan serta peningkatan kualiti hidup masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada satu majlis makan malam di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.
Adam berkata, semua perancangan itu berlandaskan prinsip kesinambungan, akauntabiliti dan pelaksanaan bagi memastikan setiap inisiatif dapat direalisasikan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Menurutnya lagi, pelbagai inisiatif pembangunan telah dilaksanakan sepanjang lima tahun lalu, termasuk pemasangan lebih 3,100 lampu jalan LED dan kerja baik pulih 382 rumah yang memberi manfaat kepada 1,493 penduduk.
Dalam bidang pendidikan, seramai 351 pelajar menerima bantuan, selain pelaksanaan 75 projek penambahbaikan kemudahan sekolah di sekitar Pujut.
Selain itu, Pusat Khidmat Pujut turut mengendalikan lebih 4,000 kes berkaitan kebajikan, pendidikan, kesihatan, kemudahan awam dan aduan penduduk.
Turut hadir, Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia Dato Lukanisman Awang Sauni.- EDISI UKAS