Kerajaan Sarawak Lulus RM450,000 Bina Gereja Baharu BEM Senadin
MIRI: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM450,000 menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi menyokong pembinaan bangunan baharu Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Senadin di Desa Senadin.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kelulusan itu merupakan langkah awal bagi membolehkan pihak gereja memulakan kerja pembangunan fasa pertama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ibadah Pelancaran Krismas Caroling 2026 Gereja BEM Senadin bertemakan “Terang Pengharapan Telah Datang” berlandaskan Yesaya 9:1 di Gereja BEM Senadin, di sini, pada Jumaat.
Dato Sri Lee berharap projek berkenaan dapat dilaksanakan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang dengan sokongan berterusan Kerajaan Sarawak.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa komited membantu rumah ibadat pelbagai agama menerusi UNIFOR, termasuk pembinaan bangunan baharu, kerja pembaikan, pengubahsuaian dan peluasan rumah ibadat.
Katanya, pendekatan inklusif itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memelihara keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
Beliau turut menekankan peranan institusi keagamaan dalam membentuk generasi muda yang mempunyai nilai moral, disiplin dan pegangan hidup yang baik, selain menggalakkan penglibatan golongan muda dalam aktiviti keagamaan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat agar terus menghormati kepercayaan masing-masing dan tidak membiarkan agama dijadikan alat untuk kepentingan politik sehingga menjejaskan perpaduan.- EDISI UKAS